Allah memiliki segala yang ada di langit dan di bumi termasuklah diri kita. Kita adalah milik Allah dan demikian jugalah segala yang kita miliki.
Oleh itu, adalah menjadi satu tanggungjawab kepada kita untuk bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang kita terima. Sudah tentu nikmat yang kita perolehi terlalu banyak sehingga kita sendiri tidak mampu menghitungnya.
Cukuplah sekiranya kita bayangkan bagaimana jika matahari terus menerus memancarkan cahayanya sepanjang hari tidak kira siang mahupun malam? Sudah pasti ketika itu tiada kehidupan yang dapat bertahan hidup di atas muka bumi ini termasuklah manusia.
Allah berfirman dalam surah Qasas ayat 72 yang bermaksud: "Katakanlah lagi: "Bagaimanakah fikiran kamu jika Allah menjadikan siang kepada kamu selama-lamanya hingga ke hari kiamat. Tuhan yang manakah lagi selain Allah yang dapat membawakan malam kepada kamu untuk kamu berehat padanya? Maka mengapa kamu tidak mahu melihat?"
Allah berfirman dalam surah Az-Zariat ayat 20-23 yang bermaksud: "Di bumi terdapat tanda-tanda kebesaran Allah bagi orang yang yakin. Dan di dalam diri kamu, apakah kamu tidak melihatnya. Dan di langit rezeki kamu dan apa yang dijanjikan kepada kamu".
Sekiranya kita bersyukur sudah pasti Allah akan menambahkan nikmat-Nya sebagaimana firman-Nya dalam surah Ibrahim ayat 7 yang bermaksud: "Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhan kamu memberitahu kepada kamu, sekiranya kita bersyukur Aku akan menambahkan (nikmat-Ku) kepada kamu tetapi sekiranya kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sungguh pedih".
Semoga dengan segala bentuk kesyukuran akan menghampirkan kita lagi kepada Allah dan Allah akan menambahkan lagi nikmat yang dikurniakan-Nya kepada kita. Semoga juga kita akan senantiasa mengingati mereka yang memerlukan bantuan dan ikhsan ikhlas daripada kita.
Maka berjalanlah kita di bumi Allah ini dan perhatikan segala kekuasaan Allah ke atas segala ciptaan-Nya untuk semua dan segala jenis umat-Nya.
0 comments:
Post a Comment